Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA ketiga yang berlangsung pada 13 Februari yang lepas telah menyaksikan satu detik yang bersejarah buat Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) apabila satu perjanjian persefahaman (MoU) di antara PEMBINA dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah berjaya dimeterai.
Perjanjian persefahaman ini telah ditandatangani oleh mantan Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi Tohiran dan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman. Turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman ini ialah perwakilan PEMBINA dari seluruh negara dan wakil daripada Jawatankuasa Pusat ISMA.
Dengan adanya perjanjian persefahaman ini, ISMA telah diberikan kepercayaan untuk menguruskan latihan dan peningkatan ahli-ahli PEMBINA. Diharapkan melalui MoU yang telah ditandatangani, ISMA dapat mencurahkan segala pengalaman yang ada untuk membantu meningkatkan kualiti keperibadian dan ketrampilan ahli-ahli PEMBINA seiring dengan hasrat PEMBINA untuk mewujudkan generasi belia Islam yang berkarisma dan bermanfaat kepada masyarakat.
























