Kuala Lumpur, 13 Disember 2009 – PEMBINA cawangan Kuala Lumpur dan ISMA Gombak telah menganjurkan program Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan dan bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan. Program ini yang julung kalinya diadakan merupakan suatu program anjuran bersama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Antara objektif utama penganjuran seminar ini adalah untuk mengajak golongan belia terutamanya supaya lebih peka dan bijak dalam menguruskan kewangan masing-masing dan peri pentingnya untuk melahirkan para usahawan muslim yang berjaya dari kalangan belia Melayu. Ternyata seminar ini telah berjaya menarik minat kumpulan sasaran, iaitu para belia yang merupakan kumpulan majoriti dari kalangan 600 orang peserta yang hadir. Rata-rata mereka ini merupakan para pelajar IPT di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Seawal jam 7.30 pagi kaunter pendaftaran dibuka dan menerima pendaftaran para peserta. Tepat jam 9.00 pagi, program dimulakan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Muhammad Ihsan b. Abdul Latif Al-Hafiz dan ucapan pembukaan oleh Dr Kamil Azmi b. Tohiran, presiden PEMBINA. Di dalam teks ucapanya, beliau telah menekankan tentang keperluan untuk pengurusan kewangan yang bijak serta potensi bidang keusahawanan sebagai jalan penyelesaian kepada isu-isu kewangan yang dihadapi oleh masyarakat kita hari ini. Sejurus itu, majlis diteruskan dengan slot bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyentuh tentang isu pengurusan kewangan peribadi. Slot yang disampaikan oleh Encik Mohd Adnan Bin Abdullah sarat dengan tips-tips yang bernas dan praktikal, serta boleh dijadikan sebagai panduan khususnya oleh para belia. Selanjutnya merupakan pembentangan kertas kerja oleh Encik Mohd Rashidi yang merupakan wakil Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Di dalam pembentangan tersebut, beliau telah menerangkan mengenai pelbagai program bantuan dari segi latihan dan kewangan kepada golongan bumiputera yang berminat untuk menjadi usahawan. Slot pagi SPKK diakhiri dengan sesi perkongsian pengalaman oleh Encik Mohamad Fauzi B. Abd. Jalil yang merupakan Ketua Eksekutif Iwani Group of Companies. Beliau telah berkongsi pengalaman berharga beliau ketika mula berjinak-jinak di dalam bidang keusahawanan serta tips mengenai selok belok dunia perniagaan.
Slot petang pula dimulakan dengan sesi tazkirah bertajuk ’Induksi Hati’ oleh Ustaz Annuar Salleh yang merupakan YDP ISMA Daerah Hulu Langat. Aturcara seterusnya merupakan kemuncak program SPKK iaitu sebuah forum yang bertemakan “Kewangan Terancang, Usahawan Cemerlang, Islam Dijulang ”. Forum ini telah menampilkan tiga orang tokoh usahawan dan jutawan muslim yang berjaya iaitu Tuan Haji Abd. Rahman B. Mt Dali, Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah yang juga merupakan Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Ahmad Radzi B. Yahaya, Pengarah Urusan Servco Resources Sdn Bhd, dan Setiausaha Agung ISMA, Encik Aminuddin Yahaya dari rakan kongsi Jamal, Amin & Partners. Ketua Biro Ekonomi PEMBINA, En. Majid B. Jantan pula bertindak selaku moderator forum. Antara intipati penting dari sesi forum ini adalah kesedaran terhadap perlunya untuk kaum Melayu yang beragama Islam untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai salah satu usaha memartabatkan agama dan bangsa.
Tepat pada jam 3.45 petang, majlis diteruskan dengan upacara perasmian penutup yang telah dilaksanakan oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Razali bin Hj. Shahabudin, Pengarah Bahagian Penyelidikan JAKIM. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap semua hadirin yang telah menghadiri seminar ini serta sekalung tahniah kepada pihak urusetia yang telah berusaha keras untuk memastikan majlis ini berjalan lancar. Beliau turut mengingatkan setiap hadirin supaya berusaha mengamalkan ilmu-ilmu keusahawanan yang telah dikutip dari program SPKK ini untuk bersama-sama membangunkan ummah, bangsa dan negara. Para hadirin kemudiannya bersurai sesudah minum petang iaitu pada jam 4.30 petang.
PEMBINA dan ISMA memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas kejayaan penganjuran seminar seumpama ini. Di samping itu juga, ISMA dan PEMBINA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada JAKIM, MAIWP dan Masjid Wilayah Persekutuan di atas kepercayaan dan bantuan yang dihulurkan dalam memastikan program SPKK ini mampu dilaksanakan dengan baik. Harapan kami kepada setiap hadirin SPKK, semoga mutiara ilmu yang dikutip dari seminar ini mampu melahirkan generasi usahawan Muslim sehebat Nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W serta para sahabat baginda. Dengan izin Allah semoga kita bertemu lagi di program-program ISMA/PEMBINA yang seterusnya.


























