
Kuala Lumpur – Persatuan Belia Islam Nasional cawangan Kuala Lumpur telah menganjurkan Kejohanan Bowling Belia pada 9 Ogos yang lepas di Ampang Superbowl, Plaza Flamingo, Ampang. Kejohanan ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 50 belia sekitar kawasan Gombak dan Ampang.

Untuk kejohanan kali ini, para peserta telah dibahagikan kepada 10 kumpulan. Bagi mereka mendaftar secara perseorangan, mereka telah disatukan oleh penganjur dengan kenalan baru di dalam satu kumpulan. Para peserta memulakan persaingan sekitar jam 9 malam. Ketika kejohanan berlangsung, pelbagai aksi dan ragam telah dipamerkan oleh para peserta yang mengambil bahagian.
Menurut salah seorang peserta yang mengambil bahagian, acara ini telah memberi peluang kepada mereka untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti rekreasi yang berfaedah dan di samping itu juga dapat menambah kenalan baru.

Kejohanan berakhir sekitar jam 10.45 malam. Majlis seterusnya diteruskan dengan upacara perasmian penutup oleh Bendahari PEMBINA Pusat, saudara Mohd Zuraidi Zakaria. Dalam ucapannya, beliau menyeru peserta untuk sama-sama memberi sokongan terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh PEMBINA khususnya untuk para belia bagi meningkatkan kualiti diri dalam menjadikan belia sebagai nadi penggerak masyarakat.
Majlis seterusnya disusuli dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Saudara Mohd Hatta telah memenangi tempat pertama untuk kategori individu dengan 361 jatuhan pin bagi 2 ‘frame’. Manakala, kumpulan yang menggelar diri mereka Bebola Api telah berjaya memenangi kategori berkumpulan dengan jatuhan pin sebanyak 1408.

Diharapkan para peserta dapat mengambil manfaat terhadap aktiviti yang telah dijalankan dan terus mengambil bahagian dalam aktiviti PEMBINA di masa akan datang, Insya Allah.
M Hafidz
PEMBINAKL
























